Polis Marin Dan POLAIR Tingkat Kerjasama


TAWAU – Pasukan Gerakan Marin dan Polis Air (POLAIR) Indonesia akan terus mempertingkatkan kerjasama bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah dan manusia di sempadan perairan kedua-dua negara.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohammad Madun berkata antara kerjasama yang akan jalankan ialah daripada segi meningkatkan pertukaran maklumat.

“Untuk membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan manusia adalah sukar dan mendatangkan banyak cabaran kepada kami. Oleh itu kami perlu mempertingkatkan kerjasama bagi menjalankan tugas dan operasi di kawasan sempadan perairan kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pihak POLAIR di kapal peronda di sempadan Pulau Sebatik dan Nunukan dekat sini, semalam.

Pihak POLAIR diketuai Pengarah POLAIR Kalimantan Timur Komisaris Besar Polisi, Bastumy Sanap. Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah dan beberapa pegawai kanan polis.

Sementara itu Bastumy berkata dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia, pihaknya telah beberapa kali mematahkan cubaan menyeludup dan mengedar dadah di sekitar kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Kami tidak akan berkompromi dengan anasir pemusnah masyarakat dan negara itu kerana dadah adalah musuh utama di mana-mana negara di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Malaysia bagi memantau penyeludupan barang larangan lain seperti minuman keras. – BERNAMA

Polis Perak Lupus Dadah Bernilai RM3 3 Juta


IPOH – Polis Perak hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.3 juta membabitkan 3,582 kes pemilikan dadah dari tahun 2000 hingga 2010.

Timbalan Pengarah 3 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman SAC Jamaludin Kudin berkata pelupusan dadah ini julung kalinya dilaksanakan secara berkelompok melibatkan 15 daerah di Perak.

“Kesemua dadah ini dilupuskan setelah semua pesalah selesai dibicarakan dan tempoh rayuan bagi kes mereka telah tamat. Semua barang kes berkaitan mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan,” katanya kepada pemberita selepas pelupusan dadah Kontinjen Perak 2013 di Pasukan Gerakan Am Briged Utara, Ulu Kinta di sini.

Antara barang kes yang dilupuskan melibatkan ganja (29,055 gram), heroin (14,701 gram), syabu (844 gram), pil eramin5 (41,175 gram), pil estacy (7,752 gram), pil yaba estacy (169 gram), pil psikotropik (9330 gram), daun ketum (1,186 kilogram), air ketum (383,610 liter) dan ubat batuk (260,931 liter), katanya.

Jamaludin berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, JSJN Perak menangkap seramai 1,361 orang terlibat dalam kes bekalan dadah dan 2,416 kes berkaitan permintaan dadah.

“Jumlah rampasan dadah dan barangan yang disita pula masing-masing berjumlah RM3.8 juta,” katanya. – BERNAMA

Polis Sabah Berkas Suspek Kes Bunuh Suami Isteri


KOTA KINABALU – Polis Sabah percaya kes pembunuhan pasangan suami isteri di sebuah kilang memproses ikan di Penampang 8 Nov lalu selesai apabila berjaya memberkas suspek kes bunuh itu di Sipitang Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata lelaki warga asing berumur 21 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu diberkas di perumahan setinggan dalam kawasan pembinaan Sabah Ammonia Urea Project (SAMUR) di Kg Long Kenangan, Sipitang, kira-kira 2.40 petang.

Katanya tinjauan penangkapan itu membawa kepada penemuan beberapa barang kes termasuk dua unit telefon bimbit dipercayai milik mangsa bunuh.

“Motif pembunuhan adalah rompakan. Suspek terdesak memerlukan wang untuk majlis perkahwinannya. Suspek juga mengaku mengambil wang tunai sebanyak RM800 dan dua telefon bimbit milik kedua-dua mangsa dari dalam bilik kedua-dua mangsa ditemui mati,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada peserta Kembara Bermotosikal “Crime Awareness Day” 2013 di sini hari ini.

Hamza berkata suspek ditahan reman sehingga 24 Nov untuk siasatan.

Pada 8 Nov lalu, Chen Ching Woei, 42, dan isterinya Chang Ling Ling, 44, masing-masing dijumpai terbaring di atas katil dan lantai dengan kesan luka di bahagian kanan kepala, dipercayai dipukul menggunakan benda keras.

Chen merupakan pemandu lori di kilang berkenaan manakala isterinya ialah kerani di sebuah syarikat berhampiran kilang ikan itu. – BERNAMA